Malaysia telah melaksanakan sistem pintu automatik (Autogate) untuk warganegara Taiwan mulai 1 Jun 2024. Pihak berkuasa Taiwan turut mengumumkan bahawa mulai 7 November 2024, warganegara Malaysia akan dibenarkan menggunakan sistem pintu automatik negara mereka (e-Gate). Dengan ini, Malaysia menjadi negara ketujuh yang menjalinkan kerjasama penggunaan sistem pintu automatik dengan Taiwan, selepas Amerika Syarikat, Korea Selatan, Australia, Itali, Jerman, dan Singapura.
Mulai sekarang, pelancong Malaysia yang memenuhi syarat berikut layak menggunakan e-Gate Taiwan untuk keluar dan masuk negara ini: memiliki pasport cip elektronik dengan tempoh sah sekurang-kurangnya enam bulan, berumur 12 tahun ke atas, berketinggian minimum 140 cm, serta tiada rekod pelanggaran undang-undang di Taiwan. Bagi individu yang memenuhi syarat-syarat ini boleh mendaftar sekali di kaunter pendaftaran di balai ketibaan (perlu mendaftar semula jika menukar passport baharu pada masa hadapan) dan seterusnya menggunakan e-Gate Taiwan untuk urusan keluar-masuk.
Sementara itu, warganegara Taiwan yang berkunjung ke Malaysia dengan pasport cip elektronik yang mempunyai tempoh sah lebih daripada enam bulan dan berketinggian sekurang-kurangnya 120 cm hanya perlu mengisi Kad Ketibaan Digital Malaysia (Malaysia Digital Arrival Card – MDAC) secara dalam talian dalam tempoh tiga hari sebelum ketibaan. Setelah tiba, mereka boleh menggunakan Autogate Malaysia secara percuma tanpa perlu membuat pendaftaran tambahan.
Kami mengalu-alukan semua rakan untuk berkongsi dan menyebarkan berita baik ini kepada orang ramai. Program “Penggunaan Pintu Automatik Berbalas Antara Taiwan dan Malaysia” akan bermula secara rasmi pada 7 November. Rakyat Malaysia hanya memerlukan satu minit untuk mendaftar, dan proses pemeriksaan mengambil masa hanya 10 saat, mengurangkan keperluan beratur panjang di kaunter imigresen. Berbanding pemeriksaan manual yang memerlukan 10 hingga 25 minit (termasuk masa menunggu), sistem ini secara signifikan mempercepatkan proses pemeriksaan masuk, satu manfaat besar bagi rakyat Malaysia yang melancong ke Taiwan.



